Showing posts with label Google. Show all posts
Showing posts with label Google. Show all posts

Friday, 14 December 2012

Sistem operasi Android perlu dikawal ketat

LG Nexus merupakan strategi Google untuk memastikan sistem operasi Android sentiasa dikemaskini tepat pada masanya. Berdasarkan statistik terkini, 65.6 peratus pengguna Android tidak mengemaskini sistem operasi Android yang digunakan mereka dan ini boleh menyebabkan telefon pintar atau smartphone mereka terdedah terhadap serangan malware.

Sistem operasi Android perlu dikawal ketat

Los Angeles: Jika Google tidak mengambil langkah kawalan ketat terhadap sistem operasi Android, kejayaan yang sedang dikecapi sistem operasi (OS) miliknya itu mungkin boleh membawa kepada pelbagai masalah.

Pada dasarnya, angka terbaru IDC harus menjadi penyebab untuk Google meraikan kejayaannya. Angka IDC yang diterbitkan minggu ini menunjukkan 68.2 peratus daripada semua telefon pintar pada 2012 menggunakan OS Android Google, menolak Apple ke tangga kedua.

Keadaan itu sekali gus menunjukkan bahawa Android akan terus membina kedudukannya sebagai platform telefon pintar yang dominan untuk tempoh empat tahun akan datang.

Firma penyelidikan itu menganggarkan sekalipun terdapat peningkatan persaingan daripada Apple dan Microsoft, Android akan digunakan pada 63.8 peratus telefon bimbit di seluruh dunia menjelang 2016.

Bagaimanapun, apa yang tidak ditunjukkan angka berkenaan ialah apakah versi Android yang digunakan telefon pintar yang dihantar itu, atau apakah versi OS yang akan mereka gunakan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Google turut menerbitkan angka penggunaan Android mereka sendiri minggu ini dan tatkala bilangan peranti yang menggunakan Jellybean, pengenalan terbaru untuk OS, mempunyai jumlah lebih dua kali ganda sepanjang bulan lalu.

65.6 peratus guna versi lapuk

Angka itu juga menyerlahkan bahawa 65.6 peratus daripada lebih 500 juta pengguna Android masih terperangkap dengan versi yang sudah lapuk untuk tempoh antara 18 bulan hingga tiga setengah tahun.

Kebanyakan pengguna tidak akan mampu untuk menaik taraf, kecuali mereka bersedia untuk membeli telefon bimbit baru dan itupun tidak ada jaminan bahawa telefon bimbit yang mereka beli akan menyokong versi terbaru OS.

Melainkan jika majoriti pengguna menggunakan versi Android paling terkini, membangunkan aplikasi baru serta meningkatkan perkhidmatan dan ciri serta melindungi daripada malware akan menjadi satu tugas yang semakin sukar.

Ia adalah masalah yang mendorong Ketua Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer untuk menyifatkan ekosistem aplikasi Android sebagai ‘liar’, ‘tidak terkawal’ dan terdedah kepada malware dalam satu wawancara dengan Reid Hoffman pada 14 November lalu.

Ia juga menjadi sebab kenapa LG Nexus, jenama telefon pintar terbaru Google terbaru sentiasa habis dijual sejak pelancarannya pada November.

Penjenamaan Nexus adalah satu-satunya jaminan yang dimiliki pengguna yang mempunyai telefon bimbit yang menggunakan versi terbaru perisian dan ia akan menerima kemas kini perisian tepat pada masanya sebaik ia boleh diperoleh. - AFP

Samsung gajet paling popular, Google menjadi tumpuan

Dominasi Nokia barangkali sudah berakhir. Samsung kini mendahului populariti gajet dan telefon pintar, diikuti dengan Apple. Samsung Galaxy S III merupakan gajet bintang baru Samsung yang menjadi faktor Samsung berjaya mengalahkan Apple.

Samsung gajet paling popular

London: Dalam segmen yang dijuarai Samsung, tumpuan berita mengenai peranti dan teknologi pada 2012 turut menyentuh mengenai kehilangan penguasaan Nokia sebagai peneraju pengeluar telefon bimbit dunia.

Turut menjadi tumpuan ialah pengeluar perisian, Microsoft yang melancarkan sistem operasi (OS) terbarunya Windows 8 manakala Apple pula melancarkan iPhone 5 pada September.

Bagaimanapun, arah aliran berita teknologi yang paling menjadi tumpuan pada 2012 ialah kedudukan Samsung Galaxy S III yang paling memberi impak kepada pasaran sejak ia dilancarkan.

Google pula menjadi tumpuan apabila sering dipaparkan sebagai tajuk berita utama tahun ini, menerusi pengenalan OS Android baru. Google bekerjasama dengan pengeluar terkemuka, LG dan Samsung untuk mengembangkan telefon pintar Nexus dan barisan tabletnya.

Google juga mendapat perhatian dengan program realiti maya dikenali, Projek Kaca yang akan berada di pasaran menjelang 2014.

Samsung, jenama dari Korea Selatan menambah ciri utama inovasi iaitu arahan suara, pengesanan mata kepada Galaxy S III (yang turut mengeluarkan versi mini) dan Galaxy Note II. Samsung juga mengatasi Nokia sebagai peneraju dalam penghantaran telefon bimbit.

Windows 8 yang dinaik taraf untuk memenuhi kehendak era baru skrin sentuh, menjadi taruhan buat Microsoft untuk berdepan dengan saingan pasaran yang lebih tertumpu kepada pemuka baru. Microsoft juga mengeluarkan barisan tablet dengan pelancaran Surface RT.

Tahun 2012 menjadi pemangkin untuk menyerlahkan lagi hakikat bahawa tablet kini di ambang untuk menggantikan komputer peribadi (PC) tradisional di dalam kebanyakan isi rumah bagi kegunaan harian seperti menonton video atau melayari laman web.

Sehubungan itu, kedua-dua pemain utama dan syarikat kecil melancarkan beberapa unit peranti itu, yang mana Apple menaiktaraf barisan iPad sebanyak dua kali tahun ini serta turut melancarkan mini iPad, Google memperkenalkan Nexus 7 dan 10, Samsung pula menaiktaraf barisan Galaxy Tab dan Note. - AFP