Friday 14 December 2012

Sistem operasi Android perlu dikawal ketat

LG Nexus merupakan strategi Google untuk memastikan sistem operasi Android sentiasa dikemaskini tepat pada masanya. Berdasarkan statistik terkini, 65.6 peratus pengguna Android tidak mengemaskini sistem operasi Android yang digunakan mereka dan ini boleh menyebabkan telefon pintar atau smartphone mereka terdedah terhadap serangan malware.

Sistem operasi Android perlu dikawal ketat

Los Angeles: Jika Google tidak mengambil langkah kawalan ketat terhadap sistem operasi Android, kejayaan yang sedang dikecapi sistem operasi (OS) miliknya itu mungkin boleh membawa kepada pelbagai masalah.

Pada dasarnya, angka terbaru IDC harus menjadi penyebab untuk Google meraikan kejayaannya. Angka IDC yang diterbitkan minggu ini menunjukkan 68.2 peratus daripada semua telefon pintar pada 2012 menggunakan OS Android Google, menolak Apple ke tangga kedua.

Keadaan itu sekali gus menunjukkan bahawa Android akan terus membina kedudukannya sebagai platform telefon pintar yang dominan untuk tempoh empat tahun akan datang.

Firma penyelidikan itu menganggarkan sekalipun terdapat peningkatan persaingan daripada Apple dan Microsoft, Android akan digunakan pada 63.8 peratus telefon bimbit di seluruh dunia menjelang 2016.

Bagaimanapun, apa yang tidak ditunjukkan angka berkenaan ialah apakah versi Android yang digunakan telefon pintar yang dihantar itu, atau apakah versi OS yang akan mereka gunakan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Google turut menerbitkan angka penggunaan Android mereka sendiri minggu ini dan tatkala bilangan peranti yang menggunakan Jellybean, pengenalan terbaru untuk OS, mempunyai jumlah lebih dua kali ganda sepanjang bulan lalu.

65.6 peratus guna versi lapuk

Angka itu juga menyerlahkan bahawa 65.6 peratus daripada lebih 500 juta pengguna Android masih terperangkap dengan versi yang sudah lapuk untuk tempoh antara 18 bulan hingga tiga setengah tahun.

Kebanyakan pengguna tidak akan mampu untuk menaik taraf, kecuali mereka bersedia untuk membeli telefon bimbit baru dan itupun tidak ada jaminan bahawa telefon bimbit yang mereka beli akan menyokong versi terbaru OS.

Melainkan jika majoriti pengguna menggunakan versi Android paling terkini, membangunkan aplikasi baru serta meningkatkan perkhidmatan dan ciri serta melindungi daripada malware akan menjadi satu tugas yang semakin sukar.

Ia adalah masalah yang mendorong Ketua Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer untuk menyifatkan ekosistem aplikasi Android sebagai ‘liar’, ‘tidak terkawal’ dan terdedah kepada malware dalam satu wawancara dengan Reid Hoffman pada 14 November lalu.

Ia juga menjadi sebab kenapa LG Nexus, jenama telefon pintar terbaru Google terbaru sentiasa habis dijual sejak pelancarannya pada November.

Penjenamaan Nexus adalah satu-satunya jaminan yang dimiliki pengguna yang mempunyai telefon bimbit yang menggunakan versi terbaru perisian dan ia akan menerima kemas kini perisian tepat pada masanya sebaik ia boleh diperoleh. - AFP

No comments:

Post a Comment